Jangan ada sikap balas dendam, cari salah kerajaan, titah Sultan Ibrahim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didingatkan supaya tidak mencari salah kerajaan dan bersikap membalas dendam.

Sultan Johor semasa bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ke Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini, mengingatkan pembangkang di negeri ini bukan sekadar membangkang.

“Sebaliknya mereka juga adalah pengimbang kepada segala cadangan dan tindakan kerajaan negeri. Gelaran pembangkang yang diberikan kepada ADUN di pihak bukan kerajaan, kurang sesuai.

“Ini kerana peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

“Namun begitu jangan ada sikap balas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, tingkah laku dan imej setiap ADUN perlu selari dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ dan menjaga kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya tiada masalah dengan pihak pembangkang. Mereka boleh menghadap saya dan beri pendapat serta idea mereka.

“Saya amat berharap keadaan politik yang stabil ini terus dikekalkan. Dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan Johor,” tambah baginda.

Dalam pada itu, baginda berpuas hati dengan prestasi kerja Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco.

Namun titah baginda, kerajaan negeri perlu berusaha untuk lebih cekap dan memajukan negeri ini.

“Pengurusan kewangan kerajaan negeri, selalu saya tekankan. Kerajaan negeri mesti mempunyai kewangan kukuh dan tidak menanggung hutang yang banyak.

“Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang berjaya rekodkan lebihan hasil pada tahun lepas berbanding baki defisit pada tahun sebelumnya.

“Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih dari hasil yang kita kutip,” titah Sultan Johor lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *