Susut 18kg, Yasin hidap tiroid di penjara

PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman memaklumkan menghidap penyakit tiroid ketika berada di penjara sejak November lalu hingga berat badannya merosot 18 kilogram (kg).

Lapor Berita Harian, Yasin menzahirkan rasa syukur apabila pihak penjara menyediakan ubat untuk merawat penyakitnya dan mendapat rawatan susulan setiap bulan.

Bagaimanapun penyanyi itu menegaskan dirinya sihat dan senang hati walaupun berat badan menurun daripada 66 ke 48 kg.

“Apa yang penting saya tidak mahu orang membuat andaian pihak penjara tidak beri saya makan. Makanan melimpah-ruah di penjara dan ramai banduan yang ‘gemuk’.

“Orang cakap saya tak cukup makan di penjara tetapi ramai banduan gemuk, saya saja tak gemuk. Saya juga pernah disahkan positif COVID-19 ketika di penjara.

“Ia menyebabkan saya tiada selera makan dan kurus. Itu satu pengalaman dan ini (menghidap tiroid) pengalaman lain,” katanya, hari ini.

Beliau menyatakannya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Nasimah Nik Mohammad.

Yang turut hadir peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein.

Tiroid adalah satu kelenjar pada bahagian hadapan leher. Kelenjar tiroid itu berfungsi untuk menghasilkan hormon tiroid yang mengatur metabolisme tubuh.

Gangguan pada kelenjar tiroid dan hormon tiroid akan menimbulkan gejala penyakit dan boleh menyebabkan penurunan berat badan, kadar denyutan jantung yang pantas dan keletihan sebelum menjurus kepada komplikasi lebih serius jika tidak dirawat.

Terdahulu ketika prosiding, Ariff Azami mengesahkan akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi mengkaji pertuduhan dihadapi Muhammad Yasin.

Pihak pembelaan memfailkan representasi itu atas arahan anak guam selepas representasi ketiga atas tujuan sama ditolak dua hari lalu.

Penyanyi nasyid itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ariff Azami berkata, kandungan representasi keempat itu tidak boleh didedahkan, namun secara kasarnya ia membabitkan pertimbangan terma untuk kepentingan awam yang munasabah dan adil.

“Kita tidak minta sesuatu yang luar biasa. Ada asas dan sokongan dokumentasi (dalam representasi) yang dibenarkan mengikut undang-undang.

“Pembelaan tidak minta sesuatu yang pihak pendakwaan tidak boleh berikan. Sebab itu, kita tetap yakin walaupun representasi ketiga ditolak, kita akan masukkan representasi keempat dengan sedikit perubahan terma.

“Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin dalam kategori tertuduh yang unik dan boleh diberi peluang. Banyak luahan hati Yasin termasuk keadaan kesihatan makin merosot dimasukkan dalam representasi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *