Speaker DAP berdolak-dalik

Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

DI DEWAN Negeri Selangor semalam, ADUN Bukit Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali (BERSATU-PN) mencadangkan agar Ketua Pembangkang yang baru dilantik memandangkan Ketua Pembangkang yang ada, ADUN Sg Air Tawar Datuk Rizam Ismail (BN-Umno) sudah tidak lagi efektif dalam menjalankan tugas kerana Kerajaan Campuran PH-BN telah dibentuk di peringkat Persekutuan.

Azmin malah mencadangkan agar ADUN Sijangkang Dato Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS – PN) diangkat sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baru.

Menurut Azmin, Rizam sendiri mengakui padanya sukar menjalankan tugasnya.

Jelas permohonan Azmin cukup munasabah memandangkan Umno kini sudah menjalin kerjasama politik dengan PH, ADUN Umno di Selangor bukan lagi pembangkang sepatutnya, mereka sudah menjadi ADUN kerajaan.

Malangnya Speaker Dewan yang juga ADUN DAP dari Sekinchan Ng Suee Lim menolak cadangan berkenaan atas alasan tidak menerima sebarang permohonan bertulis dari Rizam sendiri.

Berpusing-pusing nampaknya Speaker DAP ini. Benda yang telah rasmi dan diketahui umum, bahawa PH dan BN kini rakan kerjasama politik, sudah cukup menjadi alasan menggantikan Ketua Pembangkang, apa perlu tunggu surat lagi?

Malah dalam laporan Berita Harian 29 November 2022 dulu Ng sendiri menyatakan bahawa status Ketua Pembangkang Selangor akan diteliti selepas kabinet Persekutuan dibentuk. Kabinet Perdana Menteri ke-10 telah pun dibentuk pada 3 Disember 2022 iaitu sudah pun 100 hari, apa lagi alasan Ng?

Atau mungkinkah Rizam lebih selesa dan mahu kekal sebagai Ketua Pembangkang dan enggan menyokong Kerajaan Negeri PH?

Bagi saya jika alasan surat yang ditunggu Speaker, sahihlah Rizam dan barangkali 4 orang ADUN Umno yang lain tidak bersedia mendukung Kerajaan Negeri PH sebagaimana Ketua mereka di peringkat Persekutuan.

Umno Selangor mungkin tidak dapat menerima PKR dan DAP sebagaimana Presiden mereka boleh terima di pusat.

Kalau hal sekecil ini pun tidak boleh urus dan masih berdolak-dalik, wajarlah Kerajaan PH Selangor ditunjuk jalan keluar dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 tidak berapa lama lagi.

Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *