Semak semula subsidi, insentif tanaman padi, kata MP PN

KERAJAAN digesa menyemak semula subsidi dan insentif tanaman padi kepada petani yang ketika ini dilihat tidak relevan dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), ketika ini harga belian padi bagi satu tan metrik adalah RM1,200 dan kali terakhir disemak pada 2014.

“Jadi perlu dilihat dengan lebih meluas apakah subsidi atau harga padi yang diberi kepada para pesawah kita ini relevan.

“Kita menyaksikan kos sara hidup yang semakin tinggi, kos input pertanian yang kita lihat ada keadaannya kita tak dapat kawal, harga racun yang mahal, dan masalah baja yang lambat terpaksa dihadapi pesawah,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Beliau menyatakannya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Pada pembentangan belanjawan baharu bulan lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion untuk meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi, dan padi huma.

Sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim, membabitkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *