Pemimpin nafi Putra sertai PN atau berpakat

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menafikan parti itu akan menyertai atau berpakat dengan Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan laporan mendakwa ada perbincangan ke arah perpaduan sebagai permulaan kebangkitan Melayu pada PRU16.

Setiausaha Agung Putra, Rosdi Idris berkata, laporan yang memetik sumber itu “amat tidak tepat” dan tidak mencerminkan keputusan dewan tertinggi parti.

“Penyertaan atau pakatan bersama di antara Putra dengan PN dalam usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini adalah tidak berbangkit pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Putra yang disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), dan ia akan bekerjasama dengan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber, perbincangan antara Mahathir dan pemimpin kanan PN, Tan Sri Hadi Awang, dalam suatu pertemuan tertutup baru-baru ini adalah “ke arah perpaduan antara GTA dan PN”.

Rosdi dalam penafiannya memaklumkan bahawa isu penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat dewan tertinggi parti setakat ini.

Beliau berkata segala keputusan hanya akan diketahui selepas persidangan agung tahunan Putra yang dijangka berlangsung pada 7 Mei.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *