Ka Siong dakwa terima ugutan lelaki guna nama ‘PMO’

DATUK Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) hari ini mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat membabitkan isu import bekalan telur.

Memetik laporan Berita Harian, Ka Siong yang juga Presiden MCA mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech, pagi semalam.

Ka Siong berkata, pemanggil lelaki itu mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bekas Menteri Pengangkutan itu memperbetulkan kenyataan dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

“Semalam pukul 9.51 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang bernama Deepak yang mendakwa dirinya mewakili JNE Tex Advance Sdn Bhd dan mengatakan beliau telah berbincang dengan PMO untuk buat satu statement (kenyataan) dan kita settle (selesaikan) di luar mahkamah.

“Saya kata apa ini? Apa yang berlaku ialah, saya kata, saya tak sebut nama syarikat kamu, saya tak sebut nama kamu.

“Dia kata you kena buat satu statement untuk membetulkan apa yang dibuat di Parlimen. Saya kata saya tak sebut nama you, nama syarikat, kenapa nak buat macam tu? Saya cuma jadi jurucakap rakyat. Ini masalah bekalan telur.

“Dia kata sudah arahkan peguamnya untuk pergi ke mahkamah dan buat writ saman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, hari ini.

R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang bangun dan diberi laluan untuk mencelah, menyifatkan tindakan itu bukan sahaja tidak beretika, malah adalah satu bentuk intimidasi.

“Kalau kita bagi orang gunakan nama PMO atau nama perdana menteri macam ini, ia akan meletakkan semua dalam situasi yang membenarkan pihak lain menggunakan nama Speaker (Dewan Rakyat).

“YB Ayer Hitam sebagai Ahli Parlimen dan Presiden parti (MCA) takkan tidak tahu betul-betul apa niat perdana menteri dan PMO,” katanya.

Ka Siong kemudian bersetuju tindakan itu bukan arahan perdana menteri.

“Yang Dipertua, saya rasa dalam kes ini kita memandang berat. Apa nama PMO ini? Saya pun tidak faham apa yang berlaku.

“Pada 22 Januari hari pertama Tahun Baharu Cina, Perdana Menteri datang ke rumah terbuka (MCA). Saya bincang secara khusus telur yang diimport dari India. Saya tidak setuju. PM dengar dan saya kata kita kena cari penyelesaian.

“Saya rasa ini bukan arahan daripada PM. Ini orang pakai nama PMO. Ini satu penyakit. Dalam kes ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tak rela diperkotak-katikkan sebagai bidak-bidak catur pada mana-mana syarikat yang mahu saya membuat kenyataan dalam kes ini,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, memberi jaminan bahawa apa-apa ucapan dibuat oleh Ahli Parlimen dalam mesyuarat Majlis Parlimen terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan itu diberi selepas Ka Siong dikatakan diancam tindakan saman daripada pengimport telur dari India susulan ucapannya dalam Dewan Rakyat, penghujung Februari lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *