DUN Kedah lulus akta anti lompat parti

Oleh BADLISHAH MAT

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman (Pindaan) 2023 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti di negeri itu.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat mengumumkan keputusan tersebut selepas proses pengundian RUU tersebut dijalankan sebentar tadi sempena hari terakhir Mesyuarat Penggal Keenam DUN Kedah ke-14, hari ini.

Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir sebulat suara menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Lima ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan didahului Ketua Pembangkang, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd. Azam Abd. Samat (PN-Sungai Limau), Datuk Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit).

Menurut Zamri, RUU tersebut merupakan permulaan sangat bermakna dan bersejarah buat negeri ini.

“Kesannya akan memberi pengertian mendalam kepada bentuk moral dan integirti kerana ADUN tidak boleh lagi melompat, menjual maruah atau khianat sesuka hati.

“Pindaan ini juga secara tidak langsung mampu menangani gejala yang menjurus kepada keyakinan pengundi,” katanya.

Mukhriz pula menyifatkan RUU tersebut perlu diluluskan kerana ia akan menjadi sebahagian daripada proses penambah baikan demokrasi di negeri ini.

“Lebih-lebih lagi apabila amalan lompat parti kian menjadi-jadi tidak hanya di Parlimen, malah di negeri-negeri lain. Tindakan meluluskan RUU ini akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai khususnya anak muda yang baru mengenali politik,” katanya.

Sebelum ini, RUU Antilompat Parti diluluskan secara sebulat suara dan disokong 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, 28 Julai tahun lalu.

Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos serta berkuat kuasa secara rasmi pada 5 Oktober tahun lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *