Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

Dakwaan PN bawa lebih mudarat berbanding PH cuma ijtihad Zahid – Sanusi

Oleh RIZQI ZABIDI

DAKWAAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya pembentukan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih mudarat berbanding bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan ijtihad beliau berdasarkan kes dihadapi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu bukanlah ijtihad demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Beliau tahu ucapan pemimpin BN dan UMNO tentang DAP. DAP malah menyanyi sakan dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu terhadap BN.

“Saya tak gamak nak ulang apa yang mereka gamak kata sesama sendiri. Tetapi akhirnya ‘depa’ memilih juga untuk bersama.

“Jadi terpulang kepada mereka, itu ijtihad beliau untuk dirinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menerusi satu wawancara bersama Astro Awani semalam, Ahmad Zahid mendakwa keputusan BN untuk memilih PH atau PN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 dibuat dengan mengambil kira ‘kemudaratan’ yang lebih besar.

Menurutnya, perkara itu kemudian dibentangkan bersama Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi sebelum keputusan dicapai untuk bersama PH dengan BN berpandangan ‘kemudaratan lebih besar’ adalah jika bersama PN.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau hairan mengapa perkara sedemikian masih dibangkitkan sedangkan PH dan BN sudah sekian lama membentuk kerajaan Persekutuan.

“Mungkin Ahmad Zahid bimbang kerajaan terbalik berdasarkan perkembangan dalam partinya sendiri. Apabila berlaku pemilihan dalam parti, mungkin kerajaan akan ‘terbalik’ apabila parti beliau berubah kepimpinan.

“Mungkin pemimpin baharu yang dipilih nanti akan tarik sokongan terhadap kerajaan dan gabungan bersama PH jatuh. Proses itu dibenarkan undang-undang dan kita cuma harap mereka lakukanlah perkara itu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *