Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan semula Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pengerusi Felcra.

“Saya cukup menghargai Ahmad Jazlan yang sangat komitmen dan saya ingin mengumumkan pelantikan semulanya sebagai pengerusi Felcra Berhad,” katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau menyatakannya ketika berucap di majlis pengenalan calon-calon pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini Zahid yang juga presiden UMNO memaklumkan penangguhan pelantikan Ahmad Jazlan ditangguh susulan penyelarasan kerajaan.

Menurutnya, penyelarasan tersebut bukan hanya terhad kepada satu jawatan saja bahkan lebih meluas membabitkan semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“(Keputusan) itu telah dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan-badan berkanun, GLC (manakala) (serta) di bawah kementerian-kementerian dan juga di bawah agensi-agensi,” katanya.

Ahmad Jazlan yang juga pengerusi UMNO Kelantan menjawat jawatan itu sejak pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum PRU15.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada 3 Oktober 2021 dan adalah antara lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan mereka susulan pembentukan kerajaan baru selepas PRU15.

Bagaimanapun pada 17 Disember Ahmad Zahid mengumumkan Ahmad Jazlan akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra selepas kerajaan mengambil kira pandangan perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas kerajaan memutuskan untuk menamatkan kontrak semua pengerusi dan ahli lembaga yang dibuat melalui pelantikan politik dalam firma dan badan berkaitan kerajaan.

Empat hari kemudian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kemudiannya mengumumkan pelantikan tersebut ditangguhkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *