SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang membidas sikap kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang didakwa terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.
Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah menyediakan peruntukan amat besar dalam Bajet 2023.
Namun katanya, permintaan nelayan agar elaun kos sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan ditolak kerajaan atas alasan untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan kerajaan.
“Kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.
“Jumlah keseluruhan bajet yang mereka bentangkan adalah amat besar. Tapi rintihan golongan nelayan yang memohon kenaikan elaun ini nampaknya tidak dipedulikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas jawapan bertulis daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai permintaan beliau agar elaun sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan.
Menurut Mohamad, kerajaan tidak dapat menaikkan elaun itu sambil menegaskan kementeriannya mahu mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar kepada kerajaan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau kecewa kerana kerajaan enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun memandangkan ia permintaan nelayan ditemuinya di Tasek Gelugor.
Malah katanya, jawapan yang diberikan pun seperti sambil lewa seolah-olah ini isu kecil bagi kerajaan.
“Saya amat tidak bersetuju dengan cara Menteri berkata “adalah menjadi hasrat Kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh Kerajaan…”
“Ayat ini memberi gambaran buruk mengenai nelayan, seolah-olah nelayan sengaja mahu bergantung kepada Kerajaan dan tidak tahu berusaha sendiri. Tidak sepatutnya menteri menimbulkan persepsi buruk sebegini,” katanya.
Wan Saiful berkata, nelayan laut yang sungai yang beliau temui bekerja kuat setiap hari untuk mencari rezeki halal, namun berdepan dengan kenaikan pelbagai kos yang mendadak.
“Contohnya harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda. Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu.
Leave a Reply