Oleh BADLISHAH MAT
BEKAS Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini bahawa negeri itu berhak mengenakan caj kepada Pulau Pinang bagi air mentah yang diambil dari Sungai Muda.
Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dari Pakatan Harapan berkata, amat munasabah untuk kerajaan negeri menuntut bayaran itu kerana Kedah perlu memulihara dan memastikan kawasan hutan simpan di negeri itu terjaga.
“Pada saya, adalah munasabah untuk Pulau Pinang membayar kepada Kedah. Kita (Kedah) kena pelihara hutan (tadahan air), sungai kena jaga. Semua ini mengeluarkan kos.
“Bagaimanapun, saya sedar bahawa tidak ada peruntukan dari sudut undang-undang (untuk mengenakan pertuduhan kepada Pulau Pinang),” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kedah sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah ke-14, hari ini.
Terdahulu, Phahrolrazi bertanya status terkini panel peguam yang dilantik kerajaan Kedah pada tahun lalu untuk menguruskan permintaan daripada Pulau Pinang bagi penggunaan air mentah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memberitahu kerajaan negeri melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan RM50 juta daripada Pulau Pinang bagi air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda.
Pulau Pinang bagaimanapun menolak permintaan itu dan mendakwa bahawa mereka tidak diwajibkan membayar kepada Kedah untuk mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda yang berasal dari tadahan air Ulu Sungai Muda di Kedah.
Tambah Phahrolrazi, permintaan itu juga munasabah memandangkan rakyat Kedah sendiri terpaksa membayar air yang digunakan di negeri itu.
“Mereka (Pulau Pinang) sepatutnya membayar kerana kita (Kedah) menanggung kos memelihara hutan dan sungai. Malah rakyat kita membayar air. Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd perlu membayar (untuk mengeluarkan air dari sungai). Tiba-tiba orang lain ambil air tanpa bayar,” katanya.
Leave a Reply