Oleh RIZQI ZABIDI
DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulim menuju ke Mahang, Kedah pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi.
Katanya, pemandu kereta yang maut itu merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun manakala identiti penumpang wanita yang turut meninggal dunia masih belum dikenal pasti.
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang manakala lori itu pula datang dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di selekoh berhampiran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), kereta Proton Wira tersebut termasuk ke laluan bertentangan mengakibatkannya terlanggar bucu depan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya.
Difahamkan pemandu kereta itu tidak memiliki lesen memandu manakala pemandu lori berusia 43 tahun itu pula mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah.
Tambahnya, pemandu dan penumpang kereta itu cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori itu turut diambil keterangan untuk siasatan lanjut. Setakat ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Leave a Reply