BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, pelantikan bekas ketua Pemuda parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menerajui Mara boleh memberi gambaran kepada rakyat ia “habuan politik”, kata .
Beliau berkata, kemampuan Asyraf dalam bidang korporat sememangnya tidak boleh dinafikan, namun wujud persoalan adakah pelantikan itu habuannya berada dalam kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.
“Dari segi kemampuan, saya yakin Asyraf mampu, tetapi tak boleh dinafikan persepsi bahawa dia betul-betul menjadi penyokong kuat Zahid, iaitu menteri kemajuan desa dan wilayah dan presiden UMNO.
“Rakyat melihat benda ini seolah-olah habuan kepada (mereka) yang berada dalam pasukan politik yang menang,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap” yang dikendalikan bersama Khairy Jamaluddin.
“Dalam kes Asyraf ini, nampak seolah-olah sebagai habuan. Asyraf dah lama rancang, anda (Shahril) yang lalai,” seloroh Khairy, lapor Free Malaysia Today.
Mara adalah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Asyraf yang juga sekretariat kerajaan perpaduan dilantik sebagai pengerusi Mara berkuat kuasa Jumaat lalu.
Sabtu lalu, bekas timbalan menteri agama itu memuat naik resume 14 halaman dengan keterangan, “Siapa yang nak tawarkan kerja bolehlah.
Hari ini secara rasmi selesailah tempoh hampir lima tahun mewakafkan diri kepada Pemuda UMNO”.
Mengulas lanjut, Khairy mencelah dengan berkata, beliau tiada masalah dengan pelantikan politik kerana dirinya pernah diberikan jawatan dalam agensi kerajaan ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, katanya, ia menjadi perdebatan apabila pendirian Pakatan Harapan (PH) dari awal yang menolak sebarang pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan atau badan berkanun, akhirnya membenarkan perkara itu berlaku.
“Saya tak boleh cakap saya tak setuju sebab saya pernah jadi lantikan politik. Selagi lantikan politik itu layak pegang jawatan tersebut dan beliau dapat melaksanakan tugas dengan baik, saya tidak ada masalah.
“Masalah dia apabila kita ada pendirian dulu (PH) yang kata ‘no’, tetapi tiba-tiba buat (lantikan politik),” katanya merujuk pelantikan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad daripada PKR sebagai pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Khairy dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pada April 2012.
Leave a Reply