Kerajaan hanya bertindak terhadap pembangkang – Ahmad Fadhli

SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan adakah kerajaan benar-benar serius untuk mengambil tindakan terhadap proses tata kelola yang dikatakan tidak telus seperti yang dibangkitkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menegaskan, ini kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat hanya memfokuskan tindakan terhadap pembangkang.

Menurutnya, banyak persoalan tata kelola dibangkitkan sebelum PRU15, termasuk perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan kos berbilion.

“Rakyat sudah tentu mahu mengetahui perkara yang perlu disiasat oleh kerajaan hari ini. Tak boleh kita bercakap tentang perolehan projek semata-mata tanpa bertindak terhadap proses sebelum itu.

“Bilakah tindakan akan diambil terhadap proses tata kelola yang telah disebut sebelum PRU15. Soalan ini dijawab oleh kerajaan bahawa tindakan pendakwaan telah diambil, namun tindakan itu sebenarnya dibuat sebelum PRU15 dan YB (Yang Berhormat) Tambun dan pimpinan lain menyatakan bahawa pendakwaan itu tidak cukup dan perlu ada tindakan susulan,” katanya lapor Harakhdaily.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya mengakui bahawa pendakwaan peringkat awal kes LCS tidak mencukupi berikutan ia adalah skandal besar dan jelas wujud berlaku ketirisan.

Menurutnya, perkata itu sudah dinyatakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dipersetujui pendakwaan peringkat kedua akan teruskan.

“Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.

“Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *