LELAKI dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ kerana didakwa menjadi perancang utama kes rasuah membabitkan program Jana Wibawa sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi antirasuah itu.
Free Malaysia Today memetik sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Hussein Nasir, 54, hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur petang tadi.
“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber itu kepada FMT.
Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan identiti ‘Datuk Roy’ sebagai Mohd. Hussein Mohd. Nasir.
Lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.
Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.
Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Leave a Reply