PARTI Rakyat Malaysia (PRM) hari ini mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang.
Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, daripada jumlah itu, 10 buah kerusi DUN adalah di bahagian pulau manakala lima DUN di tanah besar.
Jelasnya, kerusi DUN di bahagian pulau yang akan ditandingi adalah di Air Putih; Tanjung Bunga; Pulau Tikus; Kebun Bunga; Seri Delima; Sungai Pinang; Air Itam, Pantai Jerejak; Batu Maung dan Teluk Bahang manakala kerusi di bahagian tanah besar akan diumumkan kemudian.
Jelas beliau, PRM akan memberi tumpuan penuh di Pulau Pinang pada PRN negeri itu kelak bagi memberi saingan kepada DAP yang mendominasi negeri tersebut sejak 2008.
Malah, beliau turut melahirkan keyakinan PRM mampu memenangi lima daripada keseluruhan 15 kerusi DUN Pulau Pinang yang akan ditandingi pada PRN negeri itu kelak, namun tidak menyatakan secara tepat kerusi yang dimaksudkan.
“Saya sendiri akan turun membantu kempen calon-calon PRM di Pulau Pinang kerana kita mahu memberi saingan kepada kerusi-kerusi DUN milik DAP,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PRM bertanding di lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal, namun kalah kesemua kerusi terbabit.
Menurut Mohamad Ezam, PRM memilih bertanding pada PRN Pulau Pinang bagi mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di negeri itu.
Jelasnya, ketiadaan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menjadi dominan dan ia terbukti menerusi kejadian empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang diarahkan mengosongkan kerusi mereka pada sidang DUN baru-baru ini.
“Peristiwa itu adalah jelas sesuatu yang buruk buat demokrasi negara dan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Ezam yang merupakan bekas Ketua Pemuda PKR berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Pulau Pinang kelak, namun bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti tersebut.
Sementara itu, Yee Cheu yang merupakan bekas ADUN Tanjung Bungah turut mengesahkan bakal bertanding mewakili PRM di kerusi DUN Air Putih yang kini disandang Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Leave a Reply