Mohd. Azhar Rafiei

Pendakwaan terpilih budaya politik tidak bertamadun, zalim

PAS Kawasan Teluk Intan menyeru pihak kerajaan pada hari ini agar menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan secara matang sesuai dengan mandat yang telah diberikan pasca PRU15.

Yang Dipertua Pas Kawasan Teluk Intan, Mohd Azhar Rafiei berkata, siri-siri pendakwaan terpilih yang berlaku ketika ini adalah budaya politik tidak bertamadun dan satu kezaliman nyata yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

“Sebagai contoh, rakyat tertanya-tanya bagaimana dengan status pendakwaan dalam kes LCS yang telah lengkap siasatannya oleh SPRM sepertimana yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi SPRM pada 11 Ogos 2022.

“Mengapa sehingga ke hari ini masih tidak ada pendakwaan yang dibuat meskipun pihak SPRM telah membuat saranan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya memetik laporan HarakahDaily.

Katanya, Pas Kawasan Teluk Intan juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menolak politik persepsi yang lapuk dan hanya menyemai kebencian.

“Kita pernah melihat pemimpin Pakatan Harapan dengan permainan persepsi memburukkan lawan politik seolah-olah individu tersebut benar-benar bersalah sedangkan proses perbicaraan di mahkamah masih lagi berjalan,” katanya. 

Tindakan mereka itu kata beliau, akhirnya memakan diri dan rakyat melihat pemimpin PH adalah pemimpin yang tidak berprinsip apabila pihak yang dituduh perompak, penyamun, penyangak dan perasuah itulah yang diangkat bahkan diberi jawatan besar dalam kerajaan.

Dalam masa yang sama katanya, Pas Kawasan Teluk Intan terus istiqamah dengan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dan diputuskan bersalah oleh mahkamah.

“Inilah sikap Pas sekian lama termasuk dalam kes yang melibatkan lawan politik seperti kes rasuah dan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes rasuah melibatkan Datuk Seri Najib Razak serta kes rasuah terowong melibatkan Lim Guan Eng,” ujar Mohd Azhar.

Justeru katanya, Pas Kawasan Teluk Intan menyeru agar semua rakyat menolak permainan persepsi yang cuba mempotretkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang pesalah sebaliknya menghormati proses mahkamah.

Tambahnya, serahkan tugas memberikan hukuman sama ada bersalah atau tidak bersalah kepada pihak mahkamah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *