PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang akan bertanding di 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu kelak.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof berkata, baki 25 daripada keseluruhan 40 kerusi DUN di negeri itu masih dalam perbincangan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain khususnya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Ini kerana kata beliau, selain Gerakan, Pas juga memiliki wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri daripada calon bukan Melayu yang mana turut bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Kita akan bincang mana yang sesuai untuk 25 lagi baki kerusi DUN lain, mana untuk DHPP dan mana untuk Gerakan.
“Dalam hal ini, banyak perkara yang sudah (kita) bincang. Ada panduan untuk capai titik pertemuan antara tiga-tiga parti ini (Pas, Bersatu dan Gerakan),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas Pas Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, Pas ketika ini juga sudah memiliki senarai calon daripada kalangan sayap Muslimat dan DHPP untuk bertanding pada PRN Pulau Pinang.
Ujar beliau, setiap Kawasan Pas sebelum ini sudah menghantar sekurang-kurangnya tiga calon untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum diberikan watikah untuk bertanding.
“Perkiraan kita hanyalah ‘winnable candidate’ (calon boleh menang) sahaja,” katanya.
Jelas beliau, ketika ini, kepimpinan PN di khususnya di peringkat negeri yang akan diadakan PRN telah mengenal pasti dan sedang mengatur langkah strategik untuk menguasai DUN.
“Ada penyandang (untuk kerusi DUN), itu perkara yang sudah diketahui. Ada juga perkara berkaitan strategik dan kewibawaan,” katanya.
Leave a Reply