Perwakilan sanggah dakwaan anak muda sokong PN tidak berpelajaran

DAKWAAN golongan muda menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai golongan tidak berpendidikan tinggi, tiada pendapatan disanggah perwakilan Bersatu yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan parti itu hari ini.

Menurut mereka yang ditemui SatuBerita dakwaan tersebut cetek dan tidak benar.

Exco Armada Bersatu, Abdul Mutallib, 32, berkata kenyataan tersebut satu penghinaan kepada golongan muda.

“Itu bagi saya tidak betul, saya sendiri ada ‘degree’ (Ijazah sarjana muda), kawan saya di Kedah yang menyokong PN ada ‘double degree’ (dua ijazah sarjana muda), calon-calon dari Armada, Pemuda PN sekiranya kita lihat pada kelayakan agak cemerlang. Tanggapan itu meleset.

“Saya ingin ingatkan, jangan kacau anak muda di luar sana. Kalau kita tengok rupa mat rempit, latar belakangnya tak tentu kita tahu,” katanya.

Exco Srikandi Muda Masjid Tanah, Nur Farah Azrina, 23, pula berkata golongan muda yang menyokong PN turut terdiri daripada golongan profesional, berpendapatan tinggi dan berpendidikan tinggi.

“Contohnya Pengerusi Srikandi Muda Bersatu adalah seorang peguam, Ketua Penerangan seorang ahli perniagaan, setiausaha kami seorang pensyarah,” katanya.

Secara sinis Nur Farah berkata, adalah lebih baik menjadi seorang yang ‘biasa-biasa’ daripada menjadi ‘orang yang pernah ditolak dalam pilihan raya tetapi diberikan jawatan dalam kerajaan’.

Ahmad Faizal, 51, pula berkata, darjat anak muda sepatutnya diangkat oleh kerajaan bukan diperlekehkan.

“Kenyataan itu tidak betul, anak-anak muda sekarang ini sudah banyak belajar di universiti dan memulakan kehidupan, negara kita kaya dengan orang muda berpendidikan tinggi.

“Sebenarnya, mereka mungkin nak alihkan isu, dulu mereka mengharapkan sokongan anak muda ini akan beralih kepada mereka, tapi sebaliknya berlaku seperti dilihat pada PRU-15,” katanya.

Faizal yang berasal dari Kulim, Kedah itu turut menganggap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang tewas di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU-15 sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila tidak mendapat sokongan anak muda.

“Pemuda Armada, Pas, Gerakan, sememangnya menitikberatkan suara anak muda, kerana pada satu hari mereka yang akan menggantikan orang yang lebih tua.

“Sebagai orang Kulim, semua orang boleh nampak. Sepanjang YB Saifuddin menjaga Kulim tiada satu perkara yang jitu dibuat. Patutnya dia tengok dulu diri dia kat cermin, anak muda adalah aset kita,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Saifuddin berkata, golongan muda yang mengundi PN pada PRU-15 sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap.

Video rakaman ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Kedah 2023 pada 25 Februari lalu yang tular antara lain menunjukkan Saifuddin berkata: “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap hat tu, hat naik motor sana sini bagi kat Perikatan (PN).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *