‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membidas rakan sejawatnya dari UMNO, Isham Jalil yang mempertikaikan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bertanya sama ada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan diri meletak jawatan selepas didakwa di mahkamah.

Beliau menegaskan, Muhyiddin ada menawarkan peletakan jawatannya sebagai presiden Bersatu, namun ditolak mesyuarat khas semalam dan perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

“Saya nak tanya ketua penerangan UMNO, apakah presiden kamu pernah menawarkan diri meletak jawatan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO atau dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO)?

“Beza presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dan bumi, presiden Umno dituduh 47 kes, manakala Muhyiddin tujuh kes, tiada tuduhan kemasukan wang dalam akaun peribadi, tetapi presiden kamu ada kegunaan peribadi,” dakwanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, Isham menyindir Muhyiddin masih mengetuai Bersatu, walaupun sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

Katanya, sebelum ini pemimpin Bersatu sering mendesak pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah meletak jawatan.

“Lepas itu, bila Ketua Penerangan Bersatu (Wan Saiful Wan Jan) kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard Bersatu, kononnya bila ada kes mahkamah mereka akan letak jawatan.

“Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan dan dakwaan, tetapi bila sudah ada pertuduhan dan dakwaan, dia tidak letak jawatan sebab kononnya kawan-kawan dia tidak izin,” kata Isham yang juga ahli MKT UMNO.

Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *