‘’Mereka boleh aniaya saya tetapi tak boleh hancurkan Bersatu’’

‘’Kita mesti bangkit melawan. Mereka boleh dakwa saya. Mereka boleh aniaya saya. Tetapi mereka tidak boleh hancurkan Bersatu.

‘’Bersatu bukan saya. Bersatu ini kita semua. Mereka mendakwa saya untuk melemahkan saya. Mereka juga mendakwa Datuk Wan Saiful (Wan Jan) untuk melemahkan saf kepimpinan Besatu. Tetapi mereka lupa. Seorang didakwa, jutaan ahli dan penyokong Bersatu akan bangkit menentang kejahatan mereka.’’

Itulah penegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Tahunan Agung Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden Bersatu itu mengingat ahli dan penyokong Bersatu supaya tidak berasa lemah dan gundah-gulana dengan siri pemangsaan politik yang cuba dilakukan.

‘’Kita bukan tidak pernah berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Di peringkat awal dahulu, kita pernah melalui episod di mana parti kita hampir-hampir diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan kerana kita didakwa tidak mematuhi perlembagaan parti.

Kita tentunya masih ingat, sehari sebelum Parlimen dibubarkan untuk mengadakan PRU-14, Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Bersatu,’’ katanya.

Bersatu juga kata Muhyiddin dikatakan gagal untuk mengadakan perhimpunan agung tahunan seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.

‘’ Walaupun kita telah menjelaskan kepada Pendaftar Pertubuhan bahawa semua langkah yang diambil adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan parti, tetapi perintah pembubaran sementara tetap diambil terhadap Bersatu,’’ tegas beliau.

Kata Muhyiddin, Bersatu tahu tindakan tersebut bermotifkan politik semata-mata untuk menyekat kemaraan parti tersebut pada ketika itu yang semakin mendapat dokongan rakyat dalam menentang kleptokrasi.

‘’Undang-undang dan institusi kerajaan telah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada masa itu untuk melumpuhkan Bersatu. Sebagai parti pembangkang, kita menjadi mangsa kerakusan kuasa parti pemerintah yang menjadi parti lawan kita.

Namun, itu semua tidak melemahkan semangat kita. Kita bangkit berjuang dengan segala kudrat yang ada sehingga kita berjaya menjatuhkan kerajaan kleptokrat UMNO dan Barisan Nasional, dan menamatkan dominasi mereka selama lebih enam dekad dalam pemerintahan negara,’’ katanya.

Muhyiddi berkata, dalam Pilihanraya Umum Ke-15 sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera kepada BEersatu semakin kuat.

‘’Berkat kerjasama dan perpaduan kita yang kukuh dengan rakan- rakan di dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, Gerakan dan SAPP, kita telah berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 13 kerusi dalam PRU-14 kepada 31 kerusi dalam PRU-15. Ini adalah peningkatan kekuatan hampir 3 kali ganda dalam tempoh hanya satu penggal pilihanraya,’’ katanya.

Beliau berkata, semua ini berlaku kerana terdapat perubahan dalam sikap dan minda rakyat terhadap parti-parti politik. Mereka tidak lagi berfikiran statik atau jumud dalam menyokong sesebuah parti politik. Mereka menilai parti politik berasaskan nilai dan budaya yang dipegang oleh parti, para pemimpin parti dan ahli-ahli parti.

‘’Rakyat semakin menghargai nilai-nilai integriti, jujur, bersih, amanah dan prihatin sebagai nilai politik yang utama. Mereka akan menyokong parti yang mengamalkan nilai-nilai ini.

‘’Nilai-nilai ini ada pada BERSATU dan Perikatan Nasional. Kerana itu, dalam pilihan raya umum yang lalu, terbentuk suatu gelombang rakyat yang besar, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan Bumiputera serta anak-anak muda, untuk menyokong Perikatan Nasional,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *