sultan kedah

KXP wajar diberi pertimbangan – Sultan Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berpandangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) wajar diberi pertimbangan untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara tanah air.

Baginda bertitah, perancangan untuk membangunkan KXP telah bermula sejak 2013 dan sejak tempoh itu, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

Berdasarkan kajian tersebut titah baginda, pembangunan KXP bakal menjadi ‘Economic Game Changer’ kepada Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhdimatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hub penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Selain ittu projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) adalah berperanan sebagai ‘enabler’ kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi komponen lain seperti Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM), taman perniagaan (business park) serta Airport City.

“Justeru beta menyeru agar kerajaan Persekutuan dapat menyokong dan memberi pertimbangan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP demi manfaat menyeluruh kepada negara dan Kedah khususnya,” titah baginda sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 2023, hari ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) berbanding membangunkan hab baharu dengan kerja-kerja itu akan diterajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion, dengan cadangan tersebut ujarnya tidak boleh dipertimbang dalam keadaan semasa.

Dalam pada itu Baginda turut menzahirkan mengenai peri pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu serta permasalahan rakyat tidak terjejas.

Negara, negeri dan rakyat titah baginda, memerlukan kestabilan politik untuk memperolehi manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

Menurut baginda, tanpa gandingan yang harmoni antara kedua-duanya, rakyat pasti akan menerima kesan dan disebabkan itu, semua pihak perlu mengelak daripada berpolitik secara berlebihan selain sentiasa berusaha menjaga hubungan antara satu sama lain, khususnya antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan hanya perlu dijaga malah perlu ditunjukkan bahawa ia dijaga.

“Beta berharap tahap profesionalisme tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan serta perbincangan-perbincangan dalam menjayakan agenda pembangunan digiatkan demi kebaikan bersama,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu turut berpesan kepada ADUN-ADUN yang bakal bersidang untuk berbahas secara ilmiah berdasarkan fakta dan angka serta berbudi bahasa sambil menjaga tatasusila.

“Bukan semata-mata bersifat ‘political mileage’ atau bertujuan ‘political vendetta’. Gunalah kesempatan ini untuk menabur bakti dan mencurahkan kebijaksanaan Ahli-Ahli Yang Berhormat demi kepentingan negeri serta rakyat di Kedah,” titah baginda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *