Oleh RIZQI ZABIDI
PEMILIHAN Wanita UMNO Kuala Kedah yang berlangsung semalam digantung setelah berlaku kecelaruan mengenai jumlah pengundi dan kertas undi yang diterima, sekali gus mewujudkan keraguan mengenai kemunculan ‘pengundi hantu’.
Sumber memaklumkan, kontroversi itu timbul setelah jawatankuasa pemilihan bahagian mendapati terdapat 570 kertas undi diterima selepas berakhir sesi pengundian sedangkan perwakilan yang hadir cuma 521 orang.
“Jumlah kehadiran rasmi yang dicatatkan cuma 521 orang tetapi apabila kertas undi dikira, jumlahnya didapati sebanyak 570.
“Sehubungan itu, jawatankuasa pemilihan bahagian membuat keputusan untuk menggantung pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah yang berlangsung pagi semalam,” katanya.
Pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian itu melibatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang mencabar penyandang, Noor Hasita Mat Isa.
Difahamkan sebanyak 750 perwakilan layak mengundi dari 150 cawangan di Bahagian Kuala Kedah. Namun jumlah kehadiran rasmi yang dicatatkan ketika sesi pengundian berlangsung di Ukir Mall, dekat sini semalam adalah seramai 521 orang.
Leave a Reply