Azmin dakwa kerajaan berbohong berhubung pelaburan AWS

BEKAS menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Seri Azmin Ali menuduh kerajaan PH-BN berbohong mengenai keputusan Amazon Web Services (AWS) untuk melabur di Malaysia.

Memetik laporan Malaysiakini, Azmin berkata, ketika beliau bertemu dengan wakil AWS mereka tidak pernah bertanya pun bila kerajaan Madani diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan ditubuhkan.

“Namun golongan munafik politik ini sanggup berbohong,” kata Azmin semasa menyampaikan ucapan dalam program ceramah Perikatan Nasional (PN) di bekas ibu pejabat Pas di Taman Melewar, malam tadi.

Ceramah itu diadakan ekoran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Mengulas lanjut Azmin berkata, kerajaan sekarang cuba mengambil nama atas hasil kerja yang sebelum ini dilakukannya.

Katanya, pelaburan AWS diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) pada Julai 2022 lagi untuk 10 tahun pertama.

“Saya nak memaklumkan bahawa saya telah diarahkan oleh (bekas perdana menteri) Muhyiddin untuk pergi ke San Francisco pada Mei 2022.

“Saya telah bertemu dengan AWS dan selepas mengadakan perbincangan panjang lebar, mereka bersetuju untuk melabur di Malaysia dengan jumlah yang besar.

“NCI meluluskan pelaburan AWS pada Julai 2022 untuk 10 tahun pertama dan kemudian pada Oktober 2022, untuk lima tahun lagi menghasilkan RM25.5 bilion,” katanya.

Azmin berkata persetujuan diberi AWS untuk melabur di Malaysia adalah kerana mereka yakin dengan kepimpinan Muhyiddin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *