Jatuh-menjatuhkan kerajaan perkara biasa – Shahidan

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perikatan Nasional (PN) sememangnya bercita-cita untuk kembali menjadi kerajaan.

Justeru katanya, usaha jatuh-menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dan gabungan berkenaan juga yakin dapat menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan sekarang.

“Kami (PN) ada niat untuk menjadi kerajaan dan mampu jadi kerajaan yang baik. Angan-angan saya kalau jadi kerajaan akan buat yang lagi baik.

“Salah ke kita cakap macam tu? Kita ada niat dan cita-cita untuk tukar kerajaan mungkin ia akan menjadi nyata pada masa akan datang atau bila-bila,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Di-pertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau ditanya mengenai tindakan pihak lawan yang tidak berpuas hati susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menjangkakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang.

Terdahulu pihak polis menerima laporan terhadap ahli Parlimen Marang itu yang dibuat Pemuda Amanah dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sementara itu, Shahidan berkata, parti-parti kerajaan juga mempunyai cita-cita untuk mendapatkan Kelantan, Kedah dan Perlis pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang dan jatuh-menjatuhkan untuk jadi kerajaan adalah perkara biasa.

“Jatuh-menjatuh untuk nak jadi kerajaan itu perkara biasa, pasal bulan lima (Mei) itu orang buat di Parlimen (tunjuk lima jari), orang buat tafsiran. Apa yang siasat-siasat?

“Saya minta kerajaan siasat kenapa harga barang naik kerana rakyat sekarang tengah susah. Negara kita sudah cukup aman dan tidak ada gerakan atau rancangan untuk jatuhkan kerajaan, namun saya ada cita-cita untuk jadi kerajaan,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *