TIADA pemimpin atau ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipanggil polis berhubung perhimpunan solidariti untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada Khamis, setakat ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan dan menjalankan tanggungjawab.
“Kita akan tunggu apa yang akan dimaklum kepada kita. Saya pun tidak ada maklumat lanjut mengenainya, hanya baca di media saja,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, penganjur dan beberapa individu yang dikenal pasti menganjurkan perhimpunan solidariti itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, polis mempunyai hak menyiasat mana-mana individu yang menyertai himpunan itu.
Namun katanya, kebanyakan individu yang hadir adalah rakyat mahu memberi sokongan kepada Muhyiddin.
“Jadi, saya tidak tahu mengapa mereka menjadi masalah. Kami berada di sana untuk menunjukkan sokongan kami. Adakah ia jenayah sekarang,” soalnya.
Wan Saiful berkata, setakat ini, semua pimpinan Bersatu mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden parti itu.
Malam ini, katanya, akan ada perbincangan mengenai jawatan Muhyiddin itu.
“Esok kita akan lihat usul,” ujar Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, lapor FMT.
Leave a Reply