KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang membuat pengumuman tersebut hari ini dan keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.
“Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan graduate (melangkah) ke fasa seterusnya.
“Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Oktober ini akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.
Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti itu pada Ogos 2020 lalu.
Beliau pada ketika itu menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan Exco Armada.
Leave a Reply