TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata adalah tidak munasabah seseorang yang mencuri wang menyimpannya dalam akaun bank parti politik.
“Sebagai orang biasa, tidak munasabah seorang pencuri akan menyimpan wang yang dicuri dalam akaun bank parti politik.
“Secara realistik, itu tidak akan berlaku tapi kami tidak akan campur tangan urusan mahkamah,” kata Faizal kepada pemberita di Menara PGRM di Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan parti itu hari ini.
Mesyuarat yang sepatutnya diadakan pagi ini ditangguhkan bagi membolehkan anggota Bersatu menunjukkan sokongan terhadap presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Faizal, yang pernah menjadi Menteri Besar Perak dan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya terkilan dan kecewa dengan tindakan itu, tetapi terpaksa akur.
Katanya, sudah tentu mereka sedikit terkesan oleh pertuduhan terhadap Muhyiddin.
Ketika ditanya sama ada dia percaya pendakwaan itu bermotifkan politik untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN), beliau menjawab: “Ya. Pertuduhan itu mengubah keadaan perhimpunan sebaliknya semua orang berkumpul untuk menyokong presiden kami.”
“Kemarahan kami sekarang menjadi pembakar semangat untuk parti,” tambah Faizal, lapor MalaysiaKini.
Menurutnya, suasana mesyuarat agung tahunan (AGM) tahun ini berbeza berbanding tahun lalu kerana parti itu baru sahaja melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parti itu katanya, amat gembira dengan pencapaian pada PRU15 lalu dan ahli-ahlinya yakin kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Mengulas lanjut, Faizal menyentuh mengenai beberapa masalah dihadapi AGM Bersatu yang menyebabkan ia tertangguh.
“Kami tidak dapat melakukan gabungan AGM Armada dan Srikandi (sayap pemuda dan wanita) kerana kami berada di mahkamah untuk menyokong Muhyiddin.
“Namun, kami telah mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan AGM. Srikandi bermula hari ini dan esok ia akan diteruskan dengan sayap-sayap lain.
“Ucapan dasar oleh presiden parti sepatutnya malam esok tetapi sekarang kita tangguhkan kepada Ahad,” katanya.
Leave a Reply