KETUA Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh mendakwa pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakibatkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kerajaan PH-BN.
Katanya, tindakan sedemikian hanya bertujuan untuk menutup kelemahan kepimpinan pemerintahan PH-BN yang jelas menurutnya adalah kezaliman yang ‘terang lagi bersuluh’.
“Kita sebagai rakyat mesti kena tetap teguh melawan segala kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah PH-BN dan kita berharap Perdana Menteri Ke-10 terkini (PMX) yang bercita-cita untuk mewujudkan pemerintahan secara Madani.
“Maka, kita harap sangat beliau memikirkan kembali. Tidak salah kalau dah terasa perkara yang dibuat itu tak betul kita buat kepada kebenaran; dan kita semua rakyat sebenarnya mahukan kestabilan kepada negara kita serta tidak mahu huru-hara,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi, lapor Harakahdaily.
Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan, iaitu membabitkan empat menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Muhyiddin dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta selain diarahkan untuk menyerahkan pasport beliau kepada pihak Mahkamah Kuala Lumpur manakala perbicaraan akan bersambung Isnin ini.
Mengulas lanjut Nuridah berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri seharusnya memimpin secara amanah dan berlaku adil kepada semua rakyat.
Katanya, perlu ditegaskan bahawa Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia, bukannya Perdana Menteri untuk Parti PH dan BN.
“Rakyat mengiktiraf dan wajib menyokong perkara betul yang dilakukan dalam kepimpinan PMX.
“Tetapi jika pemerintahan beliau (PMX) sendiri bersifat politik memilih bulu dan membuat sesuatu yang tidak boleh diterima (termasuklah membuat fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka (kita) perlu bangkit untuk menentang kezaliman dan berani mempertahankan kebenaran,” tegasnya.
Leave a Reply