‘Kita berpanas, tapi tak koyak’ – Ahmad Faizal

“KITA berpanas tapi kita tak koyak,” itu kata-kata semangat diucapkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berucap di hadapan lebih 200 penyokong di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Faizal berkata, biarpun seharusnya diadakan perhimpunan agung pada hari ini, namun semuanya berkumpul di Kuala Lumpur mengiringi pemimpin yang dizalimi.

“Seharusnya kita pada pagi ini menunaikan tanggungjawab kita menghadiri perhimpunan agung kita namun ditakdirkan akibat kezaliman pemerintah, kita berada dalam keadaan panas kerana kita mengiringi negarawan kita yang sedang dizalimi pemerintah.

“Walaupun dalam keadaan panas kita tetap tidak koyak, bila kita dengar pertuduhan dilontarkan kita amat yakin, abah kita tidak bersalah,” katanya, lapor Sinar Harian.

Lebih 200 penyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul seawal jam 7 pagi, bagi memberikan sokongan berkaitan pertuduhan yang dihadapi beliau.

Kawalan ketat pihak polis di sekitar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan dalam keadaan terkawal.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Muhyiddin, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot hitam tanpa tali leher, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *