SETIAUSAHA Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), DatuK Seri Hamzah Zainudin Hamzah menyuarakan kekecewaan terhadap pendakwaan kes mahkamah yang dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya rasa penahanannya telah dirancang kerana kebanyakan pertuduhannya adalah tuduhan baru… Tiba-tiba, dia didakwa serta-merta.
“Mereka (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sepatutnya melakukan siasatan terhadap dakwaan baru itu lebih awal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Hamzah kemudiannya menyentuh kenyataan Muhyiddin semalam yang bertegas bahawa tidak ada salahnya Bersatu menerima sumbangan, walaupun daripada hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
“Syed Mokhtar atau mana-mana ahli perniagaan lain boleh menderma kepada mana-mana parti politik yang mereka mahu.
“Perkara ini tidak salah kerana ia bukan masuk ke poket pemimpin parti. Ia untuk kegunaan parti,” katanya.
Hamzah mendakwa, terlalu sedikit dokumen yang ditunjukkan SPRM apabila Bersatu meminta bukti yang membawa kepada penahanan Muhyiddin.
Beliau juga menuduh kerajaan perpaduan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dengan sengaja ‘membuat pembohongan’ untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, terdapat banyak percubaan untuk menjadikan pembangkang kelihatan buruk tetapi menyatakan bahawa kerajaan harus bermuhasabah diri terlebih dahulu.
Sementara itu, Hamzah berkata, partinya berjuang untuk setiap rakyat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang.
“Kami sebenarnya parti yang ditujukan untuk semua orang, terutama generasi muda. Mereka sudah pun bersama kita. Kami untuk negara, bukan satu kaum tetapi setiap kaum.
“Itulah sebabnya kita ada Gerakan dan sayap Bersekutu kita. Saya tahu kami tidak mempunyai kumpulan India tetapi kami terbuka untuk mengalu-alukan mereka,” katanya, lapor MalaysiaKini.
Katanya, Bersatu bersifat inklusif, tidak seperti pihak tertentu yang eksklusif dan memenuhi keperluan golongan elit.
Leave a Reply