SIASATAN berkaitan rasuah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan parti itu dikatakan akibat dendam.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai kerajaan yang sepatutnya reformis, tindakan itu seperti dendam politik yang tidak seharusnya berlaku.
“Tetapi mereka melakukan perbuatan dendam. Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, perhimpunan tahunan parti berkenaan akan diteruskan.
“Agenda perhimpunan tahunan sudah ditetapkan, namun bergantung kepada keadaan dan situasi semasa. Kita mungkin buat sedikit perubahan kepada agenda esok,” katanya.
Beliau turut mengecam tindakan siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai dendam politik ke atas PN.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 11 pagi ini.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan tetapi beberapa laporan mengatakan Pengerusi PN itu akan didakwa hari ini.
Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Leave a Reply