‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya tidak akan ada huru-hara atau rusuhan disebabkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap PN sekarang ini.

“Kami adalah parti yang aman damai. Kami menyayangi negara ini.

“Kami tidak mahu mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim ketika memulakan hari-hari reformasinya.

“Ini kerana rakyat sekarang ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Merusuh bukan sesuatu yang betul untuk dilakukan,” katanya kepada media selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam ini, lapor Agenda Daily.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi bagi memberi keterangan kepada SPRM.

Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden Pz, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘Hidup Rakyat’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan PH-BN.

Kerajaan PH-BN dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.

SPRM kemudian mengumumkan Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok.

Mengulas lanjut mengenai kehadiran ratusan penyokong di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata, penyokong PN malam ini mengadakan solat hajat.

“Saya rasa esok pun akan ada ramai penyokong yang akan datang ke mahkamah. Tetapi kehadiran mereka itu bukan kerana Muhyiddin, tetapi kerana Perikatan Nasional,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memberi sokongan.

Mengenai soal siasat pegawai SPRM ke atas beliau sejak pagi tadi, Muhyiddin berkata ianya mengambil masa kerana cara SPRM menjalankan tugas adalah berhemah, tidak kasar dan saling menghormati.

“Kita ambil masa untuk melihat satu persatu (soalan dan jawapan)… lepas itu merek buat rekod… lepas itu disemak balik. Kemudian itu barulah kita bersetuju dan kita tandatangani. Jadi sebab itu dia ambil masa.

“Tapi saya rasa tidak tidak ada tekanan… dan saya amat menghargai kerjasama pihak pegawai SPRM yang telah soal siasat saya pada pagi tadi sampailah ke malam tadi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *