BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilarang ke luar negara, menurut dokumen mahkamah.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Bersatu mencabar sekatan perjalanan dikenakan terhadap presiden parti itu dalam permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.
Bersatu mendakwa sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Muhyiddin adalah menyalahi dan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.
Parti itu berkata, sekatan perjalanan bertujuan mencemarkan nama baik Muhyiddin dan seolah-olah Ahli Parlimen Pagoh itu telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.
Sekatan perjalanan itu juga melanggar hak Muhyiddin di bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.
Sebelum ini dilaporkan Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membekukan akaun bank parti itu.
Parti itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun banknya dilakukan dengan niat jahat.
Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu terhadap parti itu.
Siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion oleh bekas kerajaan pimpinan PN.
Leave a Reply