TAN Sri Muhyiddin Yassin dijangka berdepan enam pertuduhan membabitkan empat salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
Pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber SPRM mengesahkan perkara berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum itu mengesahkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh akan didakwa di mahkamah pagi esok.
Pendakwaan dipercayai berkaitan kes salah guna dana awam program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.
KRONOLOGI ISU PROJEK JANA WIBAWA
13 November 2020 : Diluluskan oleh Jemaah Menteri.
31 Februari 2023 : BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.
1 Februari 2023 : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.
2 Februari 2023 : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.
15 Februari 2023 : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklum Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.
16 Februari 2023 : Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.
19 Februari 2023 : SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
20 Februari 2023 : Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.
20 Februari 2023 : Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM.
21 Februari 2023 : Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta dan RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM12.875 juta.
24 Februari 2023 : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.
28 Februari 2023 : Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
9 Mac 2023 : Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.
Leave a Reply