Oleh RIZQI ZABIDI
KETUA Polis Balai Sungai Tiang di Pendang, Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dialaminya ketika sedang memandu di Kilometer 52.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kereta dipandu mangsa, Sarjan Mejar Wahab Ahmad @ Harun terbabas di lebuh raya tersebut.
Akibat kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala.
“Pasukan perubatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di situ.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini mendapati kematian mangsa berpunca daripada sakit jantung,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pendang menuju ke rumahnya di Jitra.
Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut mengucapkan takziah di laman Facebook rasminya.
“Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang.
“Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah,” katanya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menziarah keluarga mangsa di Jabatan Forensik HSB, pagi tadi.
Leave a Reply