Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan jawapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa tiada permohonan projek Kedah Aerotropolis dibuat kerajaan negeri itu adalah palsu.
Muhammad Sanusi berkata, semua proses yang perlu dipenuhi antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sudah dilakukan yang ketika permohonan, pembentangan dan rundingan dibuat menterinya bukan Anthony Loke.
“PM (Perdana Menteri) bukan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Adakah kerana orang politik dalam kerajaan bertukar, semua fail lama telah tidak laku atau hilang?
“Pembentangan kepada Majlis Perancagan Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan November 2020. Sudah menerima lapan nasihat yang sedang dipenuhi. Walaupun Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan bertukar, tetapi semua jabatan yang bertanggungjawab masih ada di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Pengangkutan menafikan kerajaan membatalkan projek Kedah Aerotropolis, sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan.
Tambah Muhammad Sanusi, permohonan dan pembentangan kepada dua Perdana Menteri sebelum ini sudah dibuat dan pembentangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk dibuat penelitian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sudah dibuat, namun berstatus belum selesai.
“Permohonan untuk pembentangan kepada Perdana Menteri (Anwar) sudah dibuat melalui dua surat iaitu surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan KXP Airportcity Holding. Secara verbal juga sudah dimaklumkan kepada beliau sewaktu syarahan Kerajaan MADANI pada 19 Januari lalu.
“Saya juga dimaklumkan oleh Sultan Kedah bahawa Baginda sendiri telah bertitah kepada Perdana Menteri tentang keperluan projek ini disegerakan dalam majlis mengadap, tetapi Perdana Menteri menyatakan kerajaan tiada keupayaan kewangan buat masa ini.
“Oleh itu, saya simpulkan bahawa beliau belum ada maklumat terperinci tentang projek ini, maka saya arahkan SUK utus surat kepada PMX untuk diadakan pembentangan dan saya juga tandatangan surat KXP Airportcity kepada PMX sebagai Pengerusi yang statusnya ‘pending’,” katanya.
Beliau berkata, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) sudah dibuat dan perincian itu telah dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Selain itu katanya, sesi lawatan, perjanjian persefahaman, usahawasama dan pelbagai langkah lain telah dilakukan sementara menunggu kelulusan yang belum diperolehi.
“Ini bukan kerja Pak Kadok atau Mat Jenin. Ini kerja serius. Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Husin, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membangunkan KLIA dan terlibat dengan beberapa airport lain di dunia.
“Beliau diberi jolokan The Airport Man. Tak mungkin Jawatankuasa Teknikal diketuai oleh tokoh berpengalaman luas seperti ini tidak ambil kira persekitaran, tataletak dan interaksi projek dengan infrastruktur lain. Ini bukan presentation di medsos (sosial media), ini projek besar untuk negeri dan negara,” katanya.
Leave a Reply