Bersatu mahu cabar keputusan SPRM beku akaun di mahkamah

BERSATU mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun banknya.

Memetik laporan Free Malaysia Today, parti itu memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu berniat jahat.

Bersatu berkata, SPRM “menyalahgunakan kuasa” dengan menjalankan “pendakwaan politik” terpilih terhadap Perikatan Nasional (PN).

Dalam permohonan yang difailkan itu, Bersatu meminta mahkamah menarik balik perintah pembekuan yang dikeluarkan SPRM.

“Bersatu tidak pernah diserahkan dengan sebarang perintah pembekuan,” katanya dalam permohonan tersebut.

“Bersatu hanya menyedari bahawa akaun bank (kami) telah dibekukan apabila beberapa transaksi bank tidak dapat dilakukan.”

Parti itu turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi menyalahgunakan kuasa, membawa kepada siasatan SPRM terhadap akaun parti itu.

Bulan lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank milik Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap parti itu.

Siasatan itu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion yang dilaksanakan kerajaan terdahulu pimpinan PN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *