pengeluaran KWSP

Warganet ‘serang’ Facebook Najib selepas pertikai desakan pengeluaran KSWP bersasar

ENTRI media sosial Datuk Seri Najib Razak berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipenuhi dengan kecaman netizen selepas beliau mempertikaikan cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang caruman mereka secara bersasar.

Bekas perdana menteri itu antara pemimpin paling lantang mendesak pengeluaran KWSP bersasar sebelum ini menerusi Facebook mengatakan, kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh ketika berucap di Dewan Rakyat berkata kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM1 bilion tanpa perlu mengeluarkan peruntukan besar itu.

“Ya, ke? Muhyiddin dah dapat persetujuan dari setiap 2 juta ahli KWSP yang layak bahawa mereka sudi lepaskan pemberian RM500 tersebut?” tulis Najib di Facebook, lapor MalaysiaNow.

Kebanyakan pengguna Facebook pula tidak berpuas hati dengan Najib kerana merasakan cadangan Muhyiddin lebih tepat dan bersesuaian dengan permintaan mereka kerana desakan orang ramai adalah pengeluaran KSWP secara bersasar.

Mereka mengatakan Najib tidak memahami apa yang rakyat mahukan kerana beliau sendiri mengulas tentang topik yang berbeza.

“Orang yang berumur 40 tahun dan ke atas tapi tabungannya kurang RM10,000. Golongan yang macam mana la tu ya.

“Mintak ‘disclose’ kan kalau nak buat apa-apa manfaat patut menyeluruh bukan asal ada saja,” tulis Hairosnizam Roslan di komen Facebook Najib yang dimuat naik pada Isnin.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang mempersoal data tersebut sebagai tidak berasas dan perlu dinyatakan oleh kerajaan secara telus.

“Nak fikir secara logik, ada ke yang simpanan kurang dari RM10,000 antara umur 40-54 tahun?” tulis Mohd Ashraf.

Seorang pengguna pula, Alidie Sofhia menulis komen menyebutkan kerajaan memberikan sesuatu yang tidak pun diminta oleh rakyat kebanyakan.

“Mereka yang dapat RM50,000 tu pun lebih setuju untuk keluarkan simpanan mereka ketika ini.

“Orang kaya duduk penjara tak tahu keperluan rakyat yang mendesak ketika ini,” kata Faizal Hud.

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.

Mereka menyuarakan hal itu melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar sejak lebih seminggu lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum ini, berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *