‘UMNO bakal senasib GOLKAR jika kekalkan pemimpin sedia ada’

AHLI UMNO perlu membuat pilihan tepat dalam pemilihannya pada 18 Mac ini, selepas pengundi Melayu menolak parti itu secara total pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, pemimpin baharu perlu dipilih bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terutama orang Melayu kepada parti itu.

“UMNO bakal menerima nasib sama seperti Parti Golongan Karya (GOLKAR) di Indonesia apabila pemimpinnya terus mahu memimpin, walaupun ketika parti itu ditolak rakyat negara berkenaan.

“Pada PRU15, secara total UMNO ditolak orang Melayu, saya rasa UMNO cuma dapat undi daripada ahlinya sahaja. Saya harap perwakilan cari pemimpin yang boleh membantu UMNO mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Katanya, UMNO adalah parti teras parti yang banyak berjasa banyak kepada negara dan tidak seharusnya menjadi seperti GOLKAR apabila kalah, pemimpin tidak mahu berundur.

Mohd. Yusof berkata, UMNO perlu mengembalikan keyakinan rakyat kepadanya melalui perubahan dalam parti itu atau berhadapan situasi tidak lagi diterima orang ramai.

“Kita lihat apa terjadi pada GOLKAR, pemimpin yang sama tetap mahu memimpin parti itu dan sehingga hari ini parti itu tidak boleh bangun.

“Jadi jangan jadikan UMNO seperti apa yang berlaku kepada GOLKAR, kembalikan keyakinan rakyat dengan kepimpinan UMNO yang baharu,” katanya, lapor Berita Harian.

Pada September tahun lalu, Mohd. Yusof digantung keahlian UMNO selama enam tahun, namun pihak Lembaga Disiplin UMNO kemudian membuat keputusan menangguhkan hukuman itu sementara.

Bagaimanapun, dalam langkah pembersihan UMNO baru-baru ini, penggantungan itu kembali dikuat kuasa menyebabkan hukuman itu kembali berjalan ke atasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *