‘Negeri pembangkang hanya terima 17 peratus peruntukan pembangunan’

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mendakwa empat negeri ditadbir pembangkang hanya menerima 17 peratus peruntukan keseluruhan bagi projek pembangunan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan dikeluarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa negeri di bawah pimpinan pembangkang menerima peruntukan perbelanjaan keseluruhan sebanyak 50 peratus adalah tidak tepat.

“(Berdasarkan) fakta dibangkitkan (ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023) oleh Menteri Kewangan tadi jelas bahawa negeri yang dikuasai pembangkang tidak mendapat peruntukan seimbang.

“Sebagai contoh, dalam jawapan tadi, ada menyebut 443 projek dengan RM1.4586 bilion untuk Kedah, Kelantan ada 4,025 projek dengan RM1.545 bilion dan Perlis, 153 projek, dengan jumlah peruntukan RM560 juta.

“Kalau kita campur keseluruhan peratusan diumumkan tadi, Kedah hanya peroleh empat peratus peruntukan, Kelantan, tujuh peratus, Terengganu pula empat peratus dan Perlis hanya dua peratus. Jadi keseluruhannya hanya 17 peratus,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya); Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa); Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Tambahnya, keseluruhan projek di empat negeri pembangkang amat sedikit berbanding yang diperoleh Sabah, iaitu 18 peratus dan Sarawak, sebanyak 15 peratus.

“Ini bukan soal dengki, ini soal fakta. Negeri pembangkang (didakwa) diberi kuota lebih 50 peratus.

“50 peratus ini kalau kita lihat, ia termasuk Sabah, Sarawak, ini bukan (negeri) pembangkang. Kedua-dua negeri ini menyokong kerajaan hari ini. Pembangkang hanya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Jadi kami bangkitkan, jawapan menteri (Rafizi) tadi tidak begitu tepat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas turut meminta fakta berkenaan disemak semula kerana didakwa mengelirukan sidang Dewan Rakyat.

Rafizi ketika menggulung usul Belanjawan 2023 berkata, negeri pimpinan pembangkang menerima 50 peratus daripada peruntukan perbelanjaan infrastruktur.

Sementara itu, Ahmad Marzuk, berkata, blok pembangkang turut kesal kerana isu yang paling banyak dibangkitkan sebelum ini, berkaitan pembayaran royalti dan tunai hasil petroleum tidak dijawab.

“Sayangnya menteri sampai sudah tidak menjawab, tetapi gambarkan seolah kita yang tak faham, ini yang undang kemarahan di pihak kami. Rakyat perlu faham kenapa kita bangkitkan (perkara ini) dan marah sampai ada yang dihalau Dewan Rakyat hari ini kerana kata-katanya (Rafizi) itu yang mengundang kemarahan.

“Dalam masa sama banyak yang mengelirukan,” katanya lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *