KERAJAAN Negeri Pulau Pinang melantik empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi menguruskan empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang dikosongkan susulan usul pengisytiharan kekosongan kerusi seperti diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelantikan ‘ADUN angkat’ itu bagi menguruskan kawasan berkenaan ekoran pengosongan kerusi yang sebelum ini disandang empat ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal dilantik sebagai ‘ADUN angkat’ bagi KADUN Bertam manakala KADUN Seberang Jaya pula akan diberi perhatian oleh ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Jelasnya, KADUN Sungai Acheh pula akan diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Bakhtiar Wan Chik sebagai ‘ADUN angkat’ bagi KADUN Teluk Bahang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ‘ADUN angkat’ itu dilantik bagi menguruskan kawasan berkaitan supaya rakyat dan pengundi tidak berasa dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri.
“Malah, keempat-empat KADUN ini juga diberikan peruntukan yang sama supaya khidmat kepada rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan tidak terjejas serta terkesan ekoran pengosongan itu.
“(Tambahan pula), taraf ‘ADUN angkat’ adalah sama dengan ADUN kawasan berkenaan seperti yang dilakukan lantikan pertama pada tahun 2020,” jelasnya.
Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan bunga di Pasar Chowrasta dekat sini sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.
Pada 6 Mac lalu, DUN Pulau Pinang telah meluluskan usul Pengisytiharan Kekosongan Empat Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Empat ADUN itu melibatkan Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).
Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dalam kenyataannya semalam turut memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi ADUN itu tidak boleh ‘diisi’ memandangkan tempoh pembubaran akan berlaku dalam tempoh kurang dua tahun.
Leave a Reply