Diminta ke ibu pejabat SPRM esok, Muhyiddin nafi ditahan di padang golf

TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan sebuah portal berita bahawa beliau ditahan di sebuah padang golf hari ini dan menyifatkan laporan itu adalah palsu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, beliau hanya diminta hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi esok.

“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.

“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.

“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan

Terdahulu, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk memberi keterangan.

Memetik laporan Berita Harian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman semasa mengesahkan perkara itu berkata, seluruh barisan kepimpinan tertinggi Bersatu sudah bersiap sedia untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

BH difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai ‘VVIP’, berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *