DAP Pulau Pinang ‘bunuh diri’ halau 4 ADUN Bersatu

KERAJAAN DAP Pulau Pinang ketika ini mungkin berasakan sudah mencapai kemenangan besar apabila berjaya ‘menghalau’ dan mengarahkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) mengosongkan kerusi masing-masing menerusi usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.

Namun dari sudut lain, ia sebenarnya memberi lebih banyak kesan buruk dan bukan keputusan menguntungkan buat Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sebaliknya, keputusan itu memberi kelebihan atau ‘mileage’ politik buat Bersatu atau lebih tepat Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) itu yang dijangka berlangsung antara Julai dan Ogos ini sebaik sahaja DUN Pulau Pinang dibubarkan sekitar Jun ini.

Ketika ini, ramai pengundi menilai keputusan menghalau empat ADUN Bersatu itu lebih kepada satu tindakan berlandaskan politik semata-mata dan sidang DUN ‘dipergunakan’ untuk memperlihatkan tindakan tersebut adalah benar.

Ini kerana secara logiknya, tindakan menghalau empat ADUN itu tidak relevan atau perlu diambil memandangkan DUN sendiri akan terbubar dalam tempoh hanya beberapa bulan bagi memberi laluan kepada PRN.

Lebih daripada itu, kes melibatkan empat ADUN yang didakwa melompat parti itu juga akan dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan yang bermakna masih ada isu yang belum diselesaikan membabitkan usul pengosongan kerusi berkenaan.

Maka, sewajarnya Kerajaan DAP Pulau Pinang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum meluluskan usul pengosongan kerusi terbabit.

Bagaimana jika keputusan Mahkamah Rayuan kelak berpihak kepada empat ADUN Bersatu berkenaan dan mereka didapati tidak melanggar Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sehingga perlu mengosongkan kerusi?

Tidakkah ini akan menimbulkan polemik lain dan mendedahkan kepincangan dalam tadbir urus negeri oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang?

Malah, empat ADUN Bersatu berkenaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang jika Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka sekali gus menjatuhkan imej dan reputasi Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini begitu bangga mencanangkan mereka Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Adalah jelas keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang ‘menghalau’ empat ADUN Bersatu itu hanya akan menarik lebih simpati pengundi Pulau Pinang kepada PN menjelang PRN negeri itu kelak.

Dalam situasi gelombang hijau PN yang masih kuat ketika ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu bersedia untuk menerima tindak balas daripada pengundi ekoran keputusan mereka itu pada PRN kelak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *