Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah meninggal dunia

Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah, 79, meninggal dunia, hari ini.

Pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin berjiwa kental disahkan bekas Setiausaha Akhbarnya, Datuk Boon Som Inong, sebentar tadi.

Katanya, Allahyarham difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.

“Curahan jasa dan baktinya kepada rakyat Kedah cukup banyak dan tidak terhitung. Beliau pernah berpesan ketika menjadi ‘boss’ saya dahulu ‘di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita.

“Kitalah yang kena keluar pergi jumpa dan selesaikan masalah mereka. Dari situ, kita sudah dapat melihat betapa beliau amat mementingkan kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Syed Razak.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang memiliki jiwa cukup kental. Dalam keadaan uzur sekali pun, beliau akan tetap cuba memenuhi undangan ke sana-sini dalam apa jua majlis.

“Sama ada mahu naik atau turun pentas, beliau sentiasa berusaha melakukannya sendiri tanpa mahu dibantu. Tiada siapa dapat menafikan sumbangannya kepada negeri ini kehilangan ini tidak hanya kepada keluarganya saja malah seluruh negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu rakan baik Syed Razak yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut terkesan dengan kehilangan tersebut.

“Beliau seorang pemimpin yang baik, memiliki visi dan misi untuk memajukan rakyat serta negeri dalam apa jua keadaan.

“Kami saling mengenali sejak beliau masih berniaga dan belum menyertai politik lagi. Ketika beliau menjadi Menteri Besar, saya jadi Exco kerajaan negeri dan hubungan yang rapat ini akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *