AHLI Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dilapor dikecam pengguna Twitter sebagai “sombong” dalam wawancara dengan portal berita kesihatan, CodeBlue, dengan ada yang menyifatkannya “PR (perhubungan awam) gagal sepenuhnya”.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Lee yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen DAP diwawancara ketua pengarang CodeBlue, Boo Su-Lyn di Parlimen Selasa lalu, dan ditanya mengenai isu kesihatan seperti sama ada beliau menyokong mogok dan berapa lama petugas kesihatan patut menunggu sebelum mengambil tindakan itu.
Bagaimanapun, Lee dengan sinis bertanya Boo adakah beliau “kelihatan seperti menteri”. Lee juga enggan menjawab soalan lain atas alasan ia bersifat “emotif”
“Kurang ajar, sombong. Secara keseluruhan, tidak profesional,” kata @rahmahghazali mengulas video temubual itu yang disiarkan di Twitter CodeBlue.
“Keangkuhan dalam nada suara, bahasa badan dan tiada empati adalah jelas,” kata @Shammy_TC.
Seorang lagi pengguna Twitter @Idiot19861 mendakwa postur badan Lee ketika wawancara itu menunjukkan sikapnya.
“Ia bertambah buruk bila beliau mula bercakap. Jika nak gambarkan diri kamu sombong dan menjengkelkan, kamu berjaya,” katanya.
Sementara itu, @rainbows_wheee berkata, bahasa badan Lee menunjukkan “keangkuhan dan tidak ikhlas”.
“(Boo) bertanyakan soalan relevan, berapa lama petugas kesihatan patut menunggu dan jawapan kamu hanyalah – tunggu sehingga kita selesaikan semuanya. Saya anggap kamu lebih baik daripada ini,” kata @rainbows_wheee.
Seorang lagi pengguna @hxrryxo_ incase berkata, Lee patut menolak diwawancara sekiranya tidak boleh menjawab soalan, manakala @FedVee menasihatkan Lee mendapatkan latihan media.
“PR gagal sepenuhnya! Tak fasih, tak petah dan kurang ajar! Setiausaha akhbarnya, jika ada, patut merendah diri,” kata @FedVee.
@JackSingh01 meminta ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii mengajar Lee, selain menggesanya memohon maaf kepada Boo.
@startupizwan simpati dengan Boo yang terpaksa melalui “wawancara teruk” itu, manakala @zaim90 memuji Boo “tetap tenang”.
Bagaimanapun, bukan semua warganet menyokong Boo kerana @phoonteckman mendakwa Boo menggunakan klip video itu untuk mendapatkan perhatian dan “menyebabkan orang membenci Lee”.
@munchkkin47 berkata, Lee jelas geram dengan soalan Boo yang terus mengasak dengan perkara sama berulang kali.
“Sila siarkan video penuh, bukan hanya sedutan yang memburukkan sebelah pihak,” katanya.
Berikut sebahagian petikan klip video itu yang disiarkan di laman sesawang CodeBlue.
Boo: Berapa lama kamu gesa petugas kesihatan menunggu walaupun hanya untuk satu penyelesaian sebelum melancarkan mogok?
Lee: Soalan apa itu?
Boo: Um, jadi…
Lee: Saya tidak layan soalan emotif kerana ini soalan emotif.
Boo: Tidak, tidak, tidak. Ia – berapa lama kamu jangka mereka…?
Lee: No, inilah dia. Saya penerima soalan ini. Saya rasa ia soalan emotif, jadi saya tidak akan menjawabnya.
Boo: Kamu tidak mahu jawab soalan itu?
Lee: Apa maksud kamu, berapa lama saya mahu mereka tunggu?
Boo: Untuk penyelesaian.
Lee: Ada penyelesaian; ia pelaksanaan penyelesaian, betul?
Boo: Itu yang saya maksudkan.
Lee: Betul, kamu tidak tanya tentang itu.
Boo: Okey, jadi berapa lama kamu mahu mereka tunggu untuk pelaksanaan penyelesaian itu?
Lee: Saya mahu mereka tunggu kerajaan meneliti semua langkah bersesuaian untuk memastikan semua pemegang taruh diambil kira, dalam dasar sebelum mereka melancarkan mogok.
Boo: Jadi. berapa lamakah?
Lee: Adakah saya kelihatan seperti menteri? Adakah saya kelihatan berada dalam eksekutif? Adakah saya kelihatan mempunyai kuasa untuk memberi arahan?
Leave a Reply