Oleh RIZQI ZABIDI
PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng disifatkan tidak pernah mengkaji isu melibatkan Kedah dan Pulau Pinang secara mendalam, apabila membawa usul tanpa pemberitahuan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya, apa yang dimahukan Kedah hanyalah nilai pampasan yang dinyatakan dalam Triti Kedah 1869, diteliti semula selaras dengan perkembangan terkini selepas menghampiri tempoh 200 tahun.
Malah katanya, kalau mahu diulang semula soal sejarah dan perspektif perundangan, cukup jelas bahawa Kedah adalah kedaulatan bagi Pulau Pinang.
“Malangnya Guan Eng bermain dengan sentimen tidak perlu serta sengaja mensudutkan isu ini dalam konteks ‘melanggari sempadan negeri’.
“Sedangkan perjuangan nilai pajakan yang setimpal adalah hak negeri dan rakyat Kedah. Tindakan itu bukan mengambil hak orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Melalui usul tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 buah negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.
Selain itu, Guan Eng menerusi usul sama mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan atau diceroboh oleh Menteri Besar Kedah.
Malah, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang tersebut yang tular di dalam media sosial.
Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tindak-tanduk Guan Eng akan menambah muak rakyat terhadap politiking Pakatan Harapan (PH).
“Tunggu signal lebih besar daripada pengundi Pulau Pinang selepas ini apabila sampai masanya nanti unuk menguburkan keegoan beliau,” katanya.
Leave a Reply