DAKWAAN kononnya Pas membawa ideologi radikal berbaur ekstremisme, meleset dan hanya ilusi yang tiada asas kukuh daripada realiti sebenar.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tuduhan itu lebih kepada berniat jahat untuk memomokkan perjuangan mempertahankan agama berwajah ekstrem.
“Adakah dengan mempertahankan hak agama, bersikap tegas terhadap isu-isu melibatkan kepentingan agama dianggap tindakan radikal?
“Sedangkan Pas sentiasa mengamalkan prinsip politik bersemuka sejak awal penubuhannya dan terus dipertahankan sehingga hari ini,” kata beliau pada satu kenyataan di Alor Setar.
Beliau membidas tohmahan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti (J-KOM) Prof. Datuk Dr. Agus Yusoff, konon wujudnya ideologi radikal di kalangan parti politik pembangkang yang mampu menggugat kestabilan negara untuk menggulingkan kerajaan persekutuan hari ini.
Malah kenyataannya yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan pada 6 Mac lalu secara terang menyamakan ideologi radikal yang diamalkan pembangkang mendorong ahlinya berkelakuan selari dengan kumpulan militan Islam (IS).
Justeru Ahmad bertanya, adakah bersikap tegas terhadap perkembangan golongan lesbian, gay, bioseksual dan transeksual (LGBT), liberalisme serta pluralisme yang bangkit mewajahkan diri sebenar mereka sejak kebelakangan ini dianggap ekstrem.
“Adakah ini juga termasuk dalam definisi ekstrem oleh Ketua Pengarah J-KOM? Adakah pendirian Pas itu juga suatu tindakan radikal sedangkan Pas mengingatkan umat Islam tentang bahaya golongan ini kepada akidah sebagai seorang Muslim.
“Bagaimana pula sokongan besar rakyat terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Adakah mereka yang menyokong Pas dan PN juga radikal,” soal beliau.
Malah tambah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat itu, kerajaan yang dikatakan meletakkan prinsip madani di hadapan pernah menuduh Pas mengambil dana tajaan syarikat perjudian sedangkan dalam masa parti itu membuktikan komitmen menutup premis perjudian di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.
“Di mana pertimbangan rasional, etika serta bersikap tidak bias dalam sesuatu penilaian yang cukup dititiberatkan oleh seseorang yang pernah berada lapangan akademik?
“Terlalu banyak jawapan berbanding persoalan yang dibangkitkan. Malangnya, pemikiran golongan sebegini telah cuba mensudutkan Pas sebagai ekstrim dan radikal,” tambahnya, lapor Harakah Daily.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ketua Pengarah J-KOM agar lebih memokuskan tugas hakikinya dan mengubah mentaliti agar lebih matang.
Katanya, rakyat menilai tindak tanduk kerajaan pada hari ini dan usahlah menjadi ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.
Leave a Reply