Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

SEORANG peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada.

Tayar yang mengakibatkan peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, pula patah tangan kanan, luka di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Merang ke Kampung Telaga Papan, Setiu di sini.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar pada bahagian belakang sebelah kiri treler itu secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting terkena dua individu yang sedang berniaga di kaki lima jalan.

“Seorang mangsa (Muhamad Airiel Rizman) disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Afandi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *