PEMUDA Pas menggesa polis menyiasat dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan gerakan keganasan antarabangsa termasuk DAESH.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sayap parti itu membuat laporan di Balai Polis Selayang, Kuala Lumpur pagi tadi bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seoran gpengguna Twitter.
“Siasatan boleh dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang yang sesuai kerana Pas adalah parti yang sah berdaftar.
“Tuduhan dibuat itu adalah jelas dan kita meminta polis supaya dapat melakukan tindakan segera dengan membuat siasatan dan tangkapan,” katanya pada sidang media, di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan di Twitter oleh pemilik akaun, Pak Arman Amin yang mengaitkan perarakan dibuat pemuda Pas dengan membawa replika pedang, lembing dan perisai dengan DAESH.
Twitter itu yang merujuk kepada perarakan di Setiu, Terengganu, bulan lalu itu dimuat naik pada 5 Mac lalu pada pukul 11.44 malam.
Ahmad Fadhli menegaskan, dakwaan sebegitu perlu diambil tindakan segera kerana berisiko menimbulkan ancaman terhadap keharmonian di negara ini.
“Tiada keperluan mengaitkan Pas dengan mana-mana gerakan keganasan antarabangsa yang mana tuduhan seperti ini amat jelas bersifat fitnah,” katanya lagi, lapor Berita Harian.
Sementara itu, berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan seharusnya memberikannya secara terus tanpa perlu melalui rundingan atau desakan.
Beliau berkata, ini kerana peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu termaktub dalam manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Leave a Reply